KEM PEMBANGUNAN DAN PEMANTAPAN KEPIMPINAN MAHASISWA OKU 2024 KE ARAH MEMPERKASAKAN OKU MADANI UPM | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» ARTIKEL » KEM PEMBANGUNAN DAN PEMANTAPAN KEPIMPINAN MAHASISWA OKU 2024 KE ARAH MEMPERKASAKAN OKU MADANI UPM

KEM PEMBANGUNAN DAN PEMANTAPAN KEPIMPINAN MAHASISWA OKU 2024 KE ARAH MEMPERKASAKAN OKU MADANI UPM

 

 Oleh Prof. Dr. Arifin Abdu

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM

 

 

Kelmarin, saya menghadiri Kem Pembangunan dan Pemantapan Kepimpinan Mahasiswa Orang Kelainan Upaya (OKU) 2024 anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Persatuan Mahasiswa OKU UPM yang dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Dr. Noraishah Mydin Hj. Abdul Aziz.

 

Kem yang julung kalinya diadakan kepada pelajar-pelajar OKU UPM ini bertujuan menyahut seruan kerajaan untuk membangun OKU Madani serta membina sifat keyakinan, amanah dan bertanggungjawab pelajar OKU selari dengan teras Malaysia Madani yang kelima.

 

Selari dengan hasrat kerajaan, UPM beriltizam untuk melaksana lebih banyak program yang menyokong kemampanan pembangunan kepada komuniti. Sehubungan itu, kem pembangunan dan kepimpinan pelajar OKU ini dilaksanakan untuk pemantapan sahsiah dan kepimpinan pelajar OKU, seterusnya memperkasa kampus inklusif OKU di UPM. 

 

Kita berharap kem seumpama ini dapat dilaksanakan untuk fasa kedua kelak agar lebih ramai pelajar OKU dapat dibimbing untuk pembangunan kendiri mereka.

 

UPM sentiasa berusaha memenuhi hak setiap individu termasuk komuniti OKU untuk menimba ilmu dan mengejar matlamat yang diimpikan dalam pelbagai bidang. Sehubungan itu, saya mencadangkan agar lebih banyak program atau modul yang bersesuaian dapat dibuat untuk penganjuran di masa akan datang agar kesedaran tentang hak OKU dapat dilestarikan.

 

Inisiatif-inisiatif seperti Dasar Inklusif OKU 2020, Rangka Tindakan Kampus Inklusif OKU 2020, Bulan kesedaran Kampus Inklusif OKU setiap tahun, penambahan infrastruktur mesra OKU di seluruh kampus, sistem Putra Buddies dan Garis Panduan Pelaksanaan Kampus Inklusif OKU UPM sudah cukup baik namun kita tidak harus berpuas hati setakat itu sahaja.

 

Tugas kita seharusnya Lestari dalam membentuk dan menyediakan mahasiswa OKU UPM menjadi mahasiswa yang holistik di persada kebangsaan dan antarabangsa.

 

Terdapat seramai 67 orang pelajar OKU sedang mengikuti pelbagai kursus pengajian di UPM. Saya yakin jumlah ini akan meningkatkan pada masa akan datang memandangkan kecaknaan UPM terhadap komuniti ini diperkatakan di luar sana.

 

Sehubungan itu, saya berharap lebih banyak inisiatif pembangunan infrastruktur yang mengikut piawaian OKU dapat dibuat selain menambahbaik sistem pengajaran dan pembelajaran pelajar OKU. Kita bersyukur kerana Dr. Noraishah Mydin sentiasa peka dan prihatin terhadap peningkatan piawaian ini dari semasa ke semasa.

 

Sebagai sebuah keluarga besar di UPM ini, pasukan lain di UPM juga diharapkan untuk menggalas tanggungjawab aset dan permata berharga OKU ini agar dapat menyediakan mereka dengan ilmu kepimpinan dan nilai insan untuk persediaan masa hadapan.

 

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui kerajaan perpaduan telah memperuntukkan RM2.1 billion untuk melindungi kesejahteraan dan menjaga keupayaan OKU pada tahun 2024.

 

Kita berharap UPM untuk mengambil bahagian dalam inisiatif-inisiatif melindungi kesejahteraan dan menjaga keupayaan OKU di peringkat universiti dan menjadi penanda aras kepada universiti-universiti lain. Kita sedia untuk berkongsi pengalaman UPM ini kepada universiti dan agensi lain!

Tarikh Input: 20/02/2024 | Kemaskini: 04/03/2024 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXEbPAd~