Bahagian 1 : Mat Balik UPM

Gambar Hiasan     

Sudah lain sangat sekarang. Banyak yang dah berubah. Tak kan hanya dengan bertukar nama begini jadinya. Dulu tak macam ni. Sungguh, lain sangat. Mula berlegar dari memori usang Mat akan UPM yang dia tinggalkan dua puluh lima tahun yang lalu. Setelah bergraduat dengan program Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama), Mat menerima tawaran penempatan mengajar di Sarawak. Jadi cikgu Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan Saribas, Debak Sarawak. Mat jadi cikgu sudah lebih dua dasawarsa. Mat begelar Cikgu Mat dan setia sungguh dengan amanahnya mendidik anak anak bangsa di daerah jauh di seberang laut. Jarak yang agak jauh itu banyak mengekang hasrat Cikgu Mat untuk sesakali balik menjenguk alma meter yang pernah ditumpahkan kecintaannya sejak zaman dia belajar lagi. Zaman UPM ini bergelar Universiti Pertanian Malaysia. Kalau pun sesekali dapat balik banyak masa perlu diperuntukkan dengan ayah bonda yang sudah di usia emas dan keluarga di Kedah. Susah sangat nak dapat peluang balik ke UPM. Pun begitu, pada Cikgu Mat, UPM tetap di hati. Baris baris lagu UNIPERTAMA yang dinyanyikan dan dilatih oleh fasilitator masa minggu suai kenal diingat segar oleh Cikgu Mat. Apa lagi Cikgu Mat juga seorang seniman. Seniman yang boleh juga mengalunkan muzik dari harmonika kesayangannya. Dulu Cikgu Mat pernah juga mainkan lagu rasmi Universiti Pertanian Malaysia “UNIPERTAMA”.

 

Siswa UNIPERTAMA
Bersatu disetiap masa
Gigih mengejar cita mulia
Demi nusa tercinta 

Ilmu baik dicari
Kerana melengkapkan diri
Yakin berusaha setiap hari
Supaya berdikari 

Bersopan santun dan berbudi
Bertakwa serta yakin diri
Rakyat jelata didampingi
Itulah berilmu berbakti 

Inilah UNIPERTAMA
Menjadi kebanggaan kita
Jasa abadi sepanjang masa
Tetap disanjung nusa.

Cikgu Mat merenung KTDI dari depan halaman Kolej Canselor. Masa Cikgu Mat belajar dulu, kolej tu namanya Kolej Ketiga. Sergam indahnya tetap ada. Kolej yang menyimpan seribu rahsia dan pengalaman Cikgu Mat. Erti persaudaraan dan persahabatan disemai disitu. Blok Melati yang nampak sangat nostalgia itu seakan kembali mengocak gelora jiwa Cikgu Mat. Gelora zaman muda, roh dan dan semangat kepimpinan mahasiswa yang banyak mengangkat partisipasi Cikgu Mat sebagai kepimpinan mahasiswa dulu. Blok Melati, tempat inap Linda, teman Cikgu Mat yang banyak berkongsi dalam bicara kepimpinan mahasiswa. Gentayangan memori silam Cikgu Mat terbang mencari kenangan dengan Linda pula. Ya… mana Linda sekarang?

“Pak, kamek udah lekak daftarnya.”  Cikgu Mat tersentak bila disapa anak sulung beliau Adilah yang sudah selesai proses pendaftaran kemasukan pelajar baru di Dewan Kolej Canselor. Pendaftaran berpusat yang dilaksanakan oleh UPM yang berbeza masa Cikgu Mat mendaftar dulu. Seingat Cikgu Mat dia mendaftar terus ke kolej dulu dan kalau tak salah hampir separuh hari Cikgu Mat selesaikan proses pendaftaran dulu. Jam di tangan baru 9.15 pagi. Tadi mereka sampai jam 9.00 di tempat pendaftaran. Cepat betul.

“Bagus betul UPM ni. Banyak penambahbaikkan”.  Kata hati Cikgu Mat. Bangga sungguh dia. Kenangan silamnya yang bersimpang siur mencari arah yang mahu dituju terhenti. Adilah di depannya dengan fail fail dokumen pendaftran pelajar baru.

“Ju kita ke Kolej Limak untuk ngambik kunci dan masuk biliq.” Dengan loghat Sarawak Adilah menarikn tangan Cikgu Mat. Cikgu Mat mengikut ajak maklum puteri sulungnya. Anak Cikgu Mat pun dah masuk UPM dan UPM lah pilihan anak Cikgu Mat. Cikgu Mat menyokong penuh pilihan anak sulungnya itu. Empat pilihan program pengajiannya dalam borang permohonan UPU adalah UPM. Cikgu Mat bangga dengan anak sulungnya itu dan Cikgu Mat juga sangat bangga dengan UPM.                                                                                                

bersambung..