Persatuan Seni Silat Gayong

Selamat datang diucapkan kepada semua pelajar baru yang berjaya melanjutkan pengajian ke UPM, tempat dimana kita memperolehi ilmu pengetahuan dalam usaha membina modal insan yang berkualiti dan berguna untuk agama, bangsa dan negara.
 
Selain mengejar prestasi yang baik dalam akademik, pelbagai kemahiran lagi yang boleh kita perolehi melalui persatuan-persatuan yang telah didaftarkan di bawah Hal Ehwal Pelajar UPM (HEP UPM). Maka, Persatuan Silat Seni Gayong UPM (PSSGUPM) juga tidak ketinggalan untuk menonjolkan identitinya dalam usaha meneruskan perjuangan persilatan warisan turun temurun yang diwarisi dari Dato' Meor Abdul Rahman
bin Uda Mohd Hashim, beliau merupakan pengasas Silat Gayong Malaysia. Melalui penyertaan yang berterusan dalam PSSGUPM ini , anda semua akan didedahkan dengan ilmu persilatan yang luas, tetapi dibatasi dengan pegangan agama Islam.
 
Mari kita meyoroti kembali apakah sebenarnya yang dinamakan Gayong dalam ilm persilatan Silat Seni Gayong ini. Ga mewakili genggam. Genggam bermaksud kepatuhan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada ajaran Islam dan amanah Silat Seni Gayong yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Dato’ Paduka Meor Abdul Rahman, Pendita Agong Persilatan Melayu Moden. Alif mewakili Angkat. Ia bererti kewajipan murid – murid Gayong untuk menjunjung kedaulatan Al – Quran dan syariat – Nya. Di samping itu juga, semua murid Gayong mestilah memelihara segala amanah sebagai murid Gayong yang digenggam agar ia terus dihormati dan dipatuhi. Ya ialah yakin, bahawasanya kita beriman dengan keberkatan Al – Quran dan segala apa yang dilakukan hendaklah bertauhidkan Allah S.W.T. Semua murid dan ahli Gayong juga mestilah yakin dengan kelebihan ilmu yang dipelajari dan hanya menggunakan untuk kebaikan.Wau ialah waras. Waras dalam ertikata sedar, rasional dan penuh keinsafan atas segala tindakan dan keputusan yang bakal diambil. Ia menggambarkan bahawa seseorang murid dan ahli Gayong tidak akan bertindak sesuka hati tanpa memikirkan buruk baik dan akibat sesuatu perkara.Manakala Nga pula memberi erti ngeri. Ngeri dengan kebesaran Allah S.W.T. dan azab seksaan – Nya, ngeri dalam melakukan sesuatu perkara atau ketika mempamerkan Silat Seni Gayong
 
 
Lima huruf di atas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu Rukun Islam yang lima. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong itu mestilah menjaga kewajipan mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang lima waktu sehari semalamPada hakikatnya, kekuatan seseorang murid Gayong itu terpancar melalui keupayaan melaksana segala titah perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala larangan – Nya. Apabila wujud segala sifat, penghayatan beserta amalan dalam konsep yang disebutkan di atas barulah dianggap seorang murid Gayong itu benar – benar menuntut dan mendalami ilmu Silat Seni Gayong. Maka disini jelaslah bahawa ilmu persilatan Gayong adalah berteraskan pegangan agama Islam yang benar, bebas dari sebarang pengaruh negatif.
 
 
Sedikit penerangan dari lambang Silat Seni Gayong sebelum mengakhiri bicara, Bulan bintang di puncak dunia melambangkan agama Islam menjadi teras persilatan ini. Pedang Zulfakar melambangkan kepahlawanan sahabat-sahabat Rasulullah sewaktu menegakkan syiar Islam di zaman Jahiliah.(Dalam lambang baru digambarkan dalam bentuk sebilah parang). Maka, silat Gayong adalah ilmu persilatan yang sangat indah, menarik dan juga mencabar.
 
Pantun empat rangkap mengakhiri bicara ini,
 
Pecah Gayong di dalam dulang
Dulang hanyut di lautan tujuh
Pecah Gayong perpecahan sayang
Di satu masa balik berpadu ( berteguh )
 
 
Mohd Farizul Bin Abdul Rahman
Presiden Persatuan Silat Seni Gayong UPM sesi 2010