Bahagian 2 : dan tari kampus pun mula berentak….

Diam tak diam dan masuk semester kedua pengajian Adilah. Sekejap sungguh rasanya. Bagai baru sahaja Cikgu Mat menghantar Adilah mendaftar di Kolej Kelima UPM dan memulakan pengembaraan ilmu Adilah di UPM. Keputusan peperiksaan Adilah semester lepas cukup memberansangkan, PNGK 3.8. Cikgu Mat sendiri tak pernah cecah PGNK begitu. Paling baik pun 3.7. Itu pun di semester akhir dengan bantuan Latihan Mengajar sebanyak 6 kredit dan Cikgu Mat peroleh Gred A. Adilah jauh lebih baik. Senyum panjang bila terima whatapps daripada Adilah untuk menyampaikan keputusan peperiksaan semester pertama itu.

 

Semester kedua, Adilah mula aktif di Kolej. Cuti semester yang lepas Adilah dipilih sertai Kursus Kepimpinan Kolej. Pada semester pertama dulu pun Adilah hadir Kursus Pemantapan Organisasi, anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar di Bagan Lalang. Banyak yang Atikah belajar. Berbeza dengan masa sekolah dahulu. Rupanya di universiti ini semuanya atas diri sendiri dan bebas untuk dia memilih apa dia mahukan. Benarlah kata Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar masa Kursus Pemantapan Organisasi universiti ini menyediakan pentas dan mahasiswalah penentu gerak tarinya.


Gerak tari maksud Ketua Bahagian tu bukan seperti Panama Dance yang digilai organisasi -organisasi yang menyandarkan alasannya kepada kecergasan staf. Bukan juga gerak tari yang Maisarah selalu berlatih di Kompleks Mahasiswa pada setiap Sabtu. Macam macam tarian yang Maisarah belajar, zapin, inang, joget dan lain lain. Bukan tarian itu walau mungkin tarian itu juga sebahagian dari maksud tarian kata KB BHEP itu.

 

Adilah sendiri kadang kadang cemburui Maisarah yang liuk lentuk tarinya indah sekali dipandang. Selalu Maisarah menjadi perhatian bila persembahan tarian selamat datang dalam majlis majlis rasmi Kolej Kelima. Adillah kalau diminta menari tentu keras macam kayu. Maisarah rakan sebilik Adillah bukan sekadar tariannya indah, suaranya juga merdu sekali. Artis kolejlah katakan.

 

Soalnya sekarang bukan tarian itu. Tarian ini adalah tarian mahasiswa, mengisi pentas kemahasiswaaan dengan kemahiran insaniah yang melorongkan kemahiran kehidupan. Hidup ini harus punya kemahiran. Ia bukan sekadar kemahiran teknikal, tetapi jauh lebih penting daripada itu.

 

“Kemahiran mengurus nilai diri untuk menjadi mahasiswa yang unggul personalitinya, yang martabat dan maruahnya diangkat utama dengan sempurna.” Itu kata Ketua Bahagian HEP yang diulang kali dalam ucapannya pada KPO itu.

 

Pentas ini adalah pentas di luar dewan kuliah yang menyajikan ilmu sebagai pelengkap kepada cemerlang akademik yang dikejar impi setiap mahasiswa. Adilah mahu nilai tambah ini ada pada dirinya. Biarlah kalau dia tidak pandai menari seperti Maisarah tetapi tariannya di atas pentas itu akan lebih memaknakan ijazah yang bakal digengamnya nanti. Dia bersanggupan apa saja dalam memenuhi tembolok ilmunya. Istiqamahnya harus lestari memenuhi keazaman itu. Dalam soal akademik mulanya sudah cukup cantik dan masih jauh perjalanannya. Dalam perjalanan yang jauh itulah segalanya harus dikutip dan disambar. Segalanya yang bernama ilmu. Tekad azamnya sudah mula tersenyum.

 

Ketika atur langkahnya disusun lewat Kolej Tun Dr Ismail untuk ke kuliah terasa bagai ada yang memandangnya. Adilah perasan itu dan itu juga bukan kali pertama. Sebelumnya dia tak pernah perduli untuk memandang susuk kelibat yang memandangnya itu. Berbeza hari ini. Ada keinginan kuat menerpa untuk mengajaknya memandang kembali mengikut kata rasanya. Maka bertentanglah mata dan wajah itu meleret senyum kepadanya. Entah dari kayangan mana tanpa sempat difikir akan perlu senyum itu berbalas, ia telah berbalas. Berbalas dalam gesa mahu segera lewati daerah itu. Berlalu dengan sipu yang membawa langkah bagai tidak berpijak bumi. Dia memang pemalu dengan lelaki. Itu pasti sejak dulu. Asuh didik ibunya selalu berpesan akan begitu.

 

“Jaga kehormatan dan maruah diri. Kita ini wanita, harus tinggi sopan dan pekerti budinya.”

 

Ada debar yang juga tidak tahu dari mana undangnya. Langkah langkah yang diatur itu bagai hilang seni susunnya. Episod apa pula yang mahu bertandang ke kotak fikirnya sedang mungkin azamnya sudah ditekad.

 

Tidak keruan pula dengan sapa senyum tadi. Peliknya tidak keruan itu juga boleh membuatkan dia tersenyam lagi. Senyum sendiri berulang jadi sementara menunggu pensyarah masuk dewan kuliah.

 

Pensyarah sudah masuk, kuliah bermula dan dia cuba buang semua yang tak perlu untuk memberi tumpu kepada syarahan daripada seorang Profesor. Apa lagi kursus ini kursus yang dia minati. KOH3462 Debat Dan Penghujahan. Pensyarah yang mengajar kursus ini sangat wibawa dalam menyampaikan tentang subjek berkenaan. Terserlah kepakaran dan kecendekiawanannya. Tidak ada istilah bosan untuk melanjutkan sampai tamat kuliah itu. Kagum benar Adilah akan wibawa pensyarah ini.

 

Semester pertama dahulu pun dia mengikuti kuliah pensyarah yang sama untuk kursus KOM3403 Pengucapan Awam. Benar kata senior senior dulu Profesor kursus ini memang hebat. Tinggi ilmunya dan banyak ilmu yang Adillah peroleh. Kedua dua kursus ini perlu dikuasai. Ia sangat penting dalam mempertingkat kemahiran insaniah mahasiswa. Adilah sangat pasti itu kerana sejak dia di tingkatan enam lagi dia telah dikhabarkan tentang kepentingan mengusai kemahiran komunikasi.

 

Bukan sekadar dalam dewan kuliah tetapi aktiviti kokurikulum pun turut menawarkan kursus kursus kemahiran yang sama. Kursus kokurikulum berkredit oleh Pusat KoKurikulum Dan PembangunanPelajar pun ada kursus pengucapan. QKT2101 Seni Penghujahan selain daripada aktiviti aktiviti Kelab Debat Universiti dan Kolej membuka ruang untuk mahasiswa mengutip ilmu dalam membentuk kemahiran komunikasi. Adilah tahu benar itu dan kecenderungannya memang ke arah itu. Sebab itu dia cakna akan semua yang berkaitan dengan seni orator.

 

Itu soal kuliah, soal ilmu dan segalanya yang mahu disambar. Soal kewajiban dan keutamaan apabila dia bersanggupan untuk menajadi mahasiswa. Dalam soal soal itu Adilah juga pasti yang dia tidak boleh menyangkutkan soal hidup dan perasaan. Perasaan yang dirasa setiap manusia yang mula menuju dewasa. Ada rasa yang sekan mengundang bahagia. Dan senyum tadi seakannya mahu mengundang bahagia.

 

Soalnya bagaimana semua itu akan dia urus atur. Sumuanya mahu disambut. Mahu dia hadap dengan gejolak yang mahu benar dia merasainya. Dilemakah nanti. Sedang semuanya masih baru bermula. Baru nampak tunas tunasnya.

 

Malam ini dia mahu bercerita dengan Maisarah. Mungkin ada nasihat daripada Maisarah untuk gerak tarinya nanti. Maisarah juga sedang turut menari dalam pentas ini. Terangkum dalam tarian Maisarah dari cenderung mahasiswa pencinta budaya itu.

“Terima kasih atas senyuman itu. Salam kenal.Saya Iskandar.”

 

Derau darah bagai sekaliannya bergumpal di kepala bila whatapps dari no 0193881672 terpacul di muka Oppo F1S milik Adilah. Lalu diselidik langsung gambar pada profil pemilik no itu. Hmm… tiada wajah. Cuma sekadar ilutrasi logo. Seakannya dia pernah melihat logo itu, tapi entah di mana. Pasti lelaki itu, dia yang dibalas senyum pagi tadi. Kalau untuk lelaki, hari ini memang senyuman Adilah hanya membalas senyum itu sahaja. Selebihnya dia sendirian mengukir sedekah itu.