| Bahagian Hal Ehwal Pelajar

Upaya Bahasa Melayu Sebagai Sarana Ilmu

Ringkasan Artikel

Dari sudut sejarah, bahasa Melayu merupakan bahasa antarabangsa yang luas digunakan di rantau Asia Tenggara ini. Bahasa ini telah menjadi lingua franca di rantau ini dalam urusan perdagangan dan hubungan antarabangsa sejak zaman Kerajaan Sriwijaya, iaitu sekitar abad ke-7 Masihi hingga abad ke-19.

UPAYA BAHASA MELAYU SEBAGAI SARANA ILMU

 

Prof. Madya Dr. Norliza Jamaluddin

Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia

norliza@fbk.upsi.edu.my

 

 

Abstraks

Bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan untuk menyampaikan ilmu telah berlangsung sejak sekian lama. Bermula sejak zaman kerajaan Sriwijaya pada abad ke-7, dan kemuncaknya pada zaman keagungan agama Islam di alam Melayu, bahasa Melayu terus mencapai mercu tanda yang membanggakan. Banyak karya besar dalam bidang kesusasteraan, ilmu teologi, metafizik dan tasawuf serta falsafah dihasilkan dalam bahasa Melayu. Sejak itu, kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terus dikembangkan dan dirancang sebaik mungkin terutamanya sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, khususnya selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Ketegasan dalam memberikan gagasan agar bahasa Melayu diangkat sebagai rasmi dalam sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia adalah menerusi Jawatankuasa Pelajaran Razak pada tahun 1956. Jawatankuasa ini menegaskan bahawa semua sekolah perlu melalui satu bahasa pengantar yang sama, iaitu bahasa kebangsaan (bahasa Melayu). Laporan Rahman Talib yang menyusul kemudiannya telah menyuburkan lagi perkembangan bahasa Melayu, iaitu dengan menukarkan bahasa pengantar Inggeris pada peringkat sekolah rendah kepada bahasa Melayu dan peperiksaan umum turut dijalankan dalam bahasa Melayu. Sejak itu, usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap ilmu terus berlangsung dan giat dilaksanakan. Justeru itu, kertas kerja ini akan membincangkan sejarah perkembangan bahasa Melayu di Malaysia dengan memberikan tumpuan khusus bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap ilmu, serta usaha-usaha yang dilaksanakan antaranya dari sudut perundangan, pembentukan istilah, kepustakaan Melayu, dan bahasa Melayu sebagai pengungkap bahasa ilmu tinggi.

 

PENDAHULUAN

Dari sudut sejarah, bahasa Melayu merupakan bahasa antarabangsa yang luas digunakan di rantau Asia Tenggara ini. Bahasa ini telah menjadi lingua franca di rantau ini dalam urusan perdagangan dan hubungan antarabangsa sejak zaman Kerajaan Sriwijaya, iaitu sekitar abad ke-7 Masihi hingga abad ke-19. Bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan antarabangsa dan menjadi bahasa rasmi serta bahasa persuratan bagi pusat-pusat pemerintahan di rantau ini yang melibatkan kerajaan Melayu Bintan-Temasik, iaitu dari abad ke-12 hingga abad ke-13, Kerajaan Melayu Riau dari abad ke-14 hingga abad ke-19 yang meliputi zaman pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka dari abad ke-14 hingga abad ke-15, kerajaan Johor dari abad ke-16 hingga abad ke-17 dan Kerajaan Riau-Lingga dari abad ke-18 hingga abad ke-19 (Husen Abas, 1998). Seorang pentadbir British dalam East India Company yang juga merupakan seorang orientalis yang banyak mengkaji bahasa Melayu dan menghasilkan buku nahu serta menyusun kamus menyatakan bahawa bahasa Melayu begitu meluas penggunaannya, iaitu meliputi Semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Sumatera, Jawa, Borneo, Sulawesi serta beberapa wilayah lain yang melibatkan kepulauan Maluku, utara Filipina dan secara kolektifnya disebut sebagai Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago. Bahasa Melayu ini digunakan sebagai bahasa perhubungan dalam urusan perdagangan yang bukan sahaja melibatkan orang tempatan tetapi juga apabila orang asing berurusan dengan orang tempatan sama ada menggunakan jurubahasa atau orang asing itu sendiri menuturkan bahasa Melayu. Justeru itu, bahasa ini telah digunakan secara meluas tanpa mengira bangsa atau keturunan (William Marsden, 1892).

 

PERKEMBANGAN AWAL BAHASA MELAYU DALAM BIDANG ILMU

Bahasa Melayu sama seperti bahasa-bahasa yang lain memainkan beberapa fungsi yang utama, iaitu selain daripada menjadi bahasa perbualan harian, bahasa Melayu turut menjadi bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan juga bahasa ilmu. Menurut Awang Sariyan (2011), bahasa ilmu ialah bahasa yang berbudaya, bahasa yang kaya dengan ilmu dan menjadi bahasa pengembang ilmu dalam masyarakat atau bangsanya. Dengan erti kata yang lain, bahasa ilmu ialah bahasa yang digunakan untuk mengungkapkan segala bidang ilmu. Jika ditinjau dari sudut sejarah, bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmu sejak dari zaman kerajaan Sriwijaya. Sriwijaya yang menjadi pusat pentadbiran, pusat pendidikan dan perdagangan pada abad ke-7 hingga abad ke-11 Masihi telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam segala urusan. Pada ketika itu, Sriwijaya yang menjadi pusat pengajian agama Budda telah mendirikan beberapa pusat pengajian tinggi Budda dan para pelajarnya terdiri daripada setiap wilayah yang dikuasainya. Bahasa pengantar yang digunakan di pusat pengajian tinggi tersebut ialah bahasa Melayu kuno atau lingua franca Kwén lun (Mees, 1954).

Apabila zaman kegemilangan berpindah ke tangan kerajaan Melayu yang pemerintahnya dikuasai oleh raja-raja berketurunan Melayu, iaitu kerajaan Melayu Riau yang melibatkan Kerajaan Melaka, Johor dan Riau-Lingga, penyebaran bahasa Melayu mengalami perkembangan yang amat pesat (Husen Abas, 1998). Pada zaman ini, bahasa Melayu dikatakan berada dalam puncak kegemilangan apabila bahasa Melayu digunakan dengan meluas terutamanya dalam bidang perdagangan dan penyebaran agama Islam. Dari sudut perdagangan, bahasa Melayu dipelajari kerana bahasa ini memiliki nilai ekonomi yang tinggi dan hal ini diungkapkan oleh Van Linschoten pada abad ke-16 bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang terhormat antara bahasa-bahasa negeri timur dan orang yang tidak menguasainya di Kepulauan Melayu sama seperti orang yang tidak menguasai bahasa Perancis di negeri Belanda pada ketika itu (Nik Safiah Karim, 2000). Kedatangan orang-orang Eropah ini menurut Husen Abas (1998) tidak hanya membantu penyebaran bahasa ini secara meluas tetapi memiliki norma supraetnik yang melebihi norma etnik bahasa-bahasa daerah lain yang ada di Kepulauan Melayu. Ini terbukti dengan terhasilnya daftar kata Itali-Melayu yang disusun oleh Antonio Pigafeta, iaitu sebanyak 426 perkataan.

Pada masa yang sama kedatangan agama Islam ke alam Melayu turut membawa tulisan yang baharu kepada bahasa Melayu, iaitu tulisan Jawi yang berasaskan aksara Arab. Dengan adanya sistem tulisan ini, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap bidang ilmu telah diperluaskan, khususnya yang berkaitan dengan agama Islam. Ilmu kalam, ibadah, muamalat, munakahat, jinayat, sirah, tafsir dan adab serta berkembangnya tasawuf dan metafizik di alam Melayu menandakan kemuncak pembicaraan dan kupasan ilmu yang tinggi dalam bahasa Melayu (Awang Sariyan, 2011). Bagi tujuan ini, banyak pusat pendidikan agama telah diwujudkan, antaranya di istana, rumah-rumah ulama, madrasah, pondok, dan surau. Istana khususnya telah dijadikan pusat perkembangan ilmu-ilmu Islam. Di sini, para ulama dan pujangga Islam berkumpul dan mengajar ilmu agama Islam kepada pihak istana dan rakyat jelata. Bagi memudahkan kefahaman, maka bahasa penduduk tempatan telah digunakan. Oleh itu, proses pengislaman ini bukan sahaja mengubah kepercayaan masyarakat Melayu, tetapi turut meningkatkan lagi fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang keagamaan ini merupakan salah satu penanda utama dalam mengukur tahap kemajuan bahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan sekadar memperlihatkan penggunaannya dalam penyebaran agama Islam tetapi yang lebih penting bahasa ini mampu mengungkapkan perkara yang abstrak yang wujud dalam sistem kepercayaan penganutnya. Kemampuan sesuatu bahasa itu boleh tercapai apabila bahasa tersebut merupakan bahasa terbina (Teo Kok Siong, 2015). Ciri bahasa terbina ialah bahasa yang luwes strukturnya, memiliki kosa kata yang luas dalam kemampuannya untuk menjelaskan pelbagai perkara yang rumit dan sukar untuk digambarkan oleh minda khususnya dalam bidang keagamaan. Hal ini mampu dilaksanakan dengan baik oleh bahasa Melayu.

Ditinjau dari sudut kosa kata, keluwesan bahasa Melayu telah menyebabkan banyak kosa kata Arab yang dipinjam bagi mengungkapkan konsep atau perkara yang baharu atau agak asing dalam masyarakat Melayu. Kosa kata yang dipinjam antaranya ialah imam, sah, tauhid, fardu, fikir, akal, hajat, zalim, darurat, wakaf, fakir, kerabat, wajah, kopiah, akhirat dan insan. Begitu juga kosa kata khusus yang melibatkan nama-nama Allah seperti al-Haqq, al-Wahid, al-Karim, al-Aziz, al-Ghaffar, al-Fattah, dan ar-Rahman. Bagi kosa kata Sanskrit yang telah sebati dengan masyarakat Melayu, antaranya seperti perkataan syurga, neraka, raja, paduka dan seri, kosa kata ini masih tetap digunakan walaupun kosa kata Arab semakin berkembang dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, makna sebahagian daripada kosa kata tersebut telah diubah dan disesuaikan dengan konsep Islam, misalnya tanggapan syurga dan neraka tidak lagi sama seperti yang digambarkan dalam agama Hindu, tetapi telah diubah kepada konsep al- Jannah dan an-Nar yang terdapat di dalam al-Quran.

Dari sudut nahu, didapati bahawa bahasa Melayu pada ketika ini sudah memiliki pola nahu yang tersendiri yang dapat melambangkan bahawa bahasa Melayu telah mempunyai sistem nahu yang formal. Misalnya dari segi jenis ayat, ayat yang digunakan ialah ayat majmuk/kompleks. Walaupun agak banyak ayat majmuk yang digunakan meleret-leret namun bahasa Melayu telah berjaya diungkapkan secara bertulis. Dari segi susunan pula, ayat yang digunakan kebanyakan dalam susunan songsang dan dari segi struktur ayat pula kebanyakan ayat pasif yang digunakan.

Semasa tersebarnya agama Islam di rantau ini, bahan-bahan kesusasteraan dan keagamaan banyak ditulis hasil daripada galakan raja-raja Melayu. Bahan-bahan ini dijadikan saluran penting dalam penyebaran Islam dan dapat mendekatkan kefahaman pembacanya terhadap ajaran Islam. Karya kesusasteraan yang paling awal ialah Aqaíd al Nasafi (1590) yang merupakan buku panduan atau teks untuk mengajar pelajar dewasa tentang rukun-rukun Islam. Syed M. Naquib al-Attas berpendapat buku ini merupakan terjemahan secara harfiah daripada bahasa Arab, iaitu di bawah setiap baris karangan berbahasa Arab terdapat terjemahan dalam bahasa Melayu. Terjemahan ini ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi. Karya-karya lain yang disalin dan diterjemahkan ialah Hikayat Nabi Muhammad, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Muhammad Mengajar Anaknya Fatimah. Di samping itu, karya kesusasteraan Parsi turut diterjemahkan, antaranya Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali Hanafiyyah dan Hikayat Iskandar Zulkarnain. Menerusi karya terjemahan ini, beberapa kosa kata Parsi terserap ke dalam bahasa Melayu, seperti istana, dewan, askar, syahbandar, nafiri, kelasi, nakhoda dan anggur. Justeru, pelbagai bentuk karya sastera Arab dan Parsi seperti teks agama, syair dan gurindam sama ada dalam bentuk asli, terjemahan atau saduran dituliskan. Kitab-kitab ini kemudiannya disebarkan ke seluruh jajahan takluk yang secara tidak langsung meluaskan bahasa Melayu ke daerah-daerah itu, misalnya jajahan takluk kerajaan Melayu Melaka meliputi Pahang, Terengganu, Patani, Kampar, Inderagiri, Rokan, Siak, Bangkalis dan Johor. Begitu juga semasa pemerintahan kerajaan Islam Aceh dikatakan bahawa pendakwah-pendakwah Islam ini telah di hantar ke tanah jajahannya di Jawa untuk mengembangkan agama Islam.

Selain daripada karya sastera dan teks agama, buku berkaitan hukum kanun juga dihasilkan dan dua teks hukum kanun yang dihasilkan ialah Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang. Hukum kanun yang berasaskan kepada hukum Islam ini merangkumi undang-undang jenayah, muamalat, dan kekeluargaan. Yang berikut merupakan salah satu fasal yang terdapat dalam Hukum Kanun Melaka:

"Fasal yang keempat belas pada menyatakan hukum orang bertuduh-tuduhan dan sangkal-menyangkal. Adapun seorang itu menuduh dan seorang itu bersangkal, maka ditanyai oleh hakim. Jikalau ia mau berlawan, diperlawankan; itu pun jikalau tiada saksi berdiri. Jikalau ada saksi dua orang atau seorang, dihukumkan oleh hakim atas barang adat kanun. Adapun pada hukum Allah, sekadar disuruh bersumpah menjabat mimbar juga pun padalah. Adapun pada hukum kanun, disuruhkan ia berlawan berselam air atau bercelur minyak atau timah. Maka disurat ayat Quran pada tembikar kuali itu. Inilah yang disurat: [Quran]"

Begitu juga dengan Hukum Kanun Pahang yang merupakan lanjutan Hukum Kanun Melaka banyak dipengaruhi oleh perundangan Islam. Contohnya dalam fasal jenayah

“Bab peri hukuman apabila seseorang akil baligh membunuh seorang orang Islam disahajanya dibunuhnya itu, laki-laki atau perempuan, kecil atau besar maka yang membunuh itu dibunuh. Bermula tiada harus Islam dibunuh oleh (membunuh) kafir. Bermula tiada harus merdeka dibunuh oleh membunuh hamba orang.”[15]

“Peri hukuman segala orang yang murtad. Apabila seseorang Islam murtad disuruh taubat 3 kali, jika tiada ia mahu taubat dibunuhnya, hukumannya jangan dimandikan dan jangan ditanamkan pada kubur Islam.”[16]

 

Penyebaran agama Islam di rantau ini telah menyebabkan pengguna dan kegunaan bahasa Melayu bertambah meluas. Penambahan ini merupakan satu perkembangan yang amat baik untuk bahasa Melayu kerana fungsi dan peranan bahasa Melayu dapat dipertingkatkan, iaitu daripada bahasa perhubungan harian dan bahasa perdagangan kepada bahasa dalam penyampaian ilmu. Keupayaan bahasa Melayu dalam menyampaikan ilmu dalam bidang keagamaan pada peringkat awal ini berjaya mempamerkan dan memantapkan sistem linguistiknya serta bahasa ini juga memiliki tahap cendekiawan tinggi untuk menyampaikan pemikiran teologi yang rumit melalui penggunaan laras agama yang bukan sahaja indah, tetapi persis. Malahan, keupayaan bahasa Melayu sebagai medium untuk menyampai dan mengembangkan agama Islam telah meningkatkan lagi laras-laras lain yang berkaitan dengan bidang keagamaan seperti laras undang-undang, laras kesusasteraan selain laras agama itu sendiri. Laras agama adalah antara laras yang memperlihatkan penggunaan bahasa secara pintar, khususnya dari segi memberi inspirasi. Hal ini disebabkan ilmu keagamaan yang melibatkan persoalan keyakinan dalam sistem kepercayaan masyarakat perlu disampaikan dengan menggunakan bahasa yang mudah dan baik bagi mengubah pemikiran manusia Melayu untuk menerima agama yang baharu yang sebelum ini tiada dalam kehidupan mereka.

 

PENDAULATAN BAHASA MELAYU DI MALAYSIA

Penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca terus berlangsung sehingga permulaan abad ke-20. Namun begitu, dengan kedatangan penjajah Barat, iaitu Inggeris di Semenanjung Tanah Melayu dan utara Borneo; Belanda di kepulauan Sumatera, Jawa, selatan Borneo, Sulawesi, Maluku, dan Bali; Sepanyol di kepulauan Filipina telah menyebabkan fungsi bahasa Melayu semakin merosot. Bahasa Melayu sebagai lingua franca, bahasa rasmi pemerintahan, bahasa dalam penyampaian ilmu telah digantikan dengan bahasa penjajah, iaitu bahasa Inggeris di Tanah Melayu, bahasa Belanda di Indonesia dan bahasa Sepanyol di Filipina dan kemudiannya diambil alih oleh bahasa Inggeris apabila Amerika Syarikat menguasai Filipina (Hashim Musa, 2008).  Sejak itu, kedudukan bahasa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu khususnya semakin merosot dan kedatangan Jepun (1941-1945) semakin melemahkan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hal ini disebabkan dasar penjajahan Jepun yang menonjolkan satu konsep “Asia untuk Asia” dan mewujudkan “kawasan kemakmuran bersama Asia Timur”. Menerusi konsep ini diwujudkan persaudaraan Asia dan Jepun sebagai ketuanya. Oleh itu dilaksanakan pelaksanaan falsafah pendidikan Jepun berasaskan penggunaan bahasa Jepun, iaitu Nippongo. Konsep yang ditonjolkan ini mendapat sokongan masyarakat setempat kerana pihak Jepun terlebih dahulu melakukan penelitian dan pemahaman terhadap tret-tret budaya masyarakat setempat khususnya pemahaman dan penguasaan bahasa ibunda masyarakat Melayu sebelum mereka menjajah Tanah Melayu.

Setelah Jepun meninggalkan Tanah Melayu dan British kembali semula, wujud gerakan-gerakan untuk membina kerajaan sendiri, maka bahasa Melayu ditugaskan semula sebagai bahasa komunikasi dan bahasa kebangsaan yang sebenarnya (Ramlah Adam, 2014). Suruhanjaya Reid telah menerima cadangan Parti Perikatan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain boleh digunakan dalam masa 10 tahun selepas merdeka. Pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ini mestilah diselarikan dengan dasar pendidikan kebangsaan. Hal ini demikian kerana, melalui sistem pendidikan kebangsaan, pembentukan negara bangsa merdeka Tanah Melayu akan dapat dipupuk dan dikembangkan agar perpaduan rakyat dapat dilaksanakan dengan baik dan mudah. Pembinaan negara bangsa bagi negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk memerlukan satu ejen yang berkesan, iaitu sistem pendidikan sebagai pembinaan politik dan sosioekonomi masyarakat negara. Melalui sistem pendidikan, bahasa Melayu memainkan peranan penting dan dikembangkan sebagai bahasa ilmu.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan telah dinyatakan dengan jelas menerusi dasar dan akta bahasa. Dasar bahasa yang utama yang menjadi simbol identiti masyarakat dan negara bangsa Malaysia ialah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Menerusi Perkara 152 ini dinyatakan bahawa:

Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.

 

Menerusi Perkara 152 ini, bahasa Melayu diberikan taraf yang istimewa berbanding bahasa-bahasa lain dan perlu digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuklah dalam bidang pendidikan. Kedudukan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan secara khusus dapat dipertahankan dan diperkembangkan menerusi pelbagai akta dan laporan, antaranya Penyata Razak (1956), Penyata Rahman Talib (1960), Akta Bahasa Kebangsaan (1963 serta pindaan 1967 dan 1990), Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran (1979) dan Akta Pendidikan (1996). Kesemua akta dan laporan ini dengan jelas menunjukkan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan pengantar utama dalam bidang pendidikan negara. Pada peringkat awal, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar pendidikan kerana bahasa Melayu digunakan untuk maksud perpaduan kaum. Dalam Penyata Razak (1956) Perenggan 2 misalnya menyatakan bahawa

...menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar (utama), walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan dengan beransur.

 

Menerusi Penyata Razak ini ditetapkan bahawa Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah berteraskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Laporan Razak ini diperkukuhkan lagi oleh Jawatankuasa Rahman Talib (yang dikenali sebagai Penyata Rahman Talib 1960) yang mengesyorkan agar bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib dalam kurikulum di semua peringkat persekolahan. Penyata ini dijadikan asas penggubalan Akta Pelajaran 1961. Penegasan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan diperkukuhkan lagi menerusi Akta Pendidikan 1996. Seksyen 17, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) menyatakan bahawa:

(1) Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.

(2) Jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan itu. 

 

Di samping itu, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 secara khusus mewartakan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Seksyen 2, akta ini mengehendaki bahasa kebangsaan digunakan untuk maksud rasmi.

Bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi : kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk kepada perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152(1) Perlembagaan berhubung dengan mana-mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain di Malaysia bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi. 

 

Akta ini secara langsung menuntut agar bahasa Melayu dipelihara, dibina, dikembang, dipupuk dan dibudayakan dalam situasi rasmi. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi turut melibatkan institusi pengajian tinggi (IPT). Secara khusus, apabila bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, maka bahasa Melayu menjadi bahasa yang merentas kurikulum. Hal ini bererti bahasa Melayu perlu digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan IPT yang bukan sahaja melibatkan disiplin bahasa, tetapi meliputi semua disiplin ilmu. Sebagai bahasa pengantar, bahasa Melayu mampu mengungkapkan segala bidang ilmu dan disiplin yang diajarkan. Apabila bahasa Melayu dapat mengungkapkan pelbagai bidang ilmu, maka bahasa Melayu dapat membina dan mempertingkatkan kosa kata selari dengan kemajuan disiplin ilmu itu sendiri.  Pada masa yang sama, bahan berbahasa Melayu dalam pelbagai disiplin dapat dihasilkan dan ditingkatkan. Dengan ini, bahasa Melayu akan menjadi bahasa perhubungan utama dalam sistem pendidikan, dalam penyampaian segala bidang ilmu dan sebagai bahasa sarana budaya tinggi.

 

PENGUKUHAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU

Dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perancangan bahasa perlu dilaksanakan. Perancangan bahasa ialah proses yang dilakukan oleh sesebuah negara untuk menentukan satu sistem bahasa yang mampu digunakan dalam semua bidang terutama dalam bidang pendidikan, pentadbiran dan ekonomi (Asmah Haji Omar, 1993). Justeru itu, perancangan ini perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi membolehkan bahasa tersebut memenuhi fungsi-fungsi yang tertentu. Perkara yang lebih penting lagi hendaklah melibatkan proses penyatuan negara. Aspek penting dalam perancangan bahasa Melayu adalah memperkukuhkan sistem ejaan, pembentukan istilah, penentuan sebutan baku, penciptaan istilah dan pembinaan kepustakaan Melayu dan akhirnya bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap ilmu tinggi.

 

SISTEM EJAAN

Perancangan dalam sistem ejaan ditimbulkan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956). Pada kongres ini, penyatuan sistem ejaan Rumi dan Melayu dan Indonesia telah dibincangkan. Pada tahun 1959, sebuah jawatankuasa telah dibentuk yang melibatkan kedua-dua pihak dan daripada kerjasama tersebut maka terbentuklah Sistem Ejaan Melindo. Walau bagaimanapun, pelaksanaan sistem ejaan ini terbantut akibat konfrontasi Malaysia – Indonesia. Pada tahun 1972, Malaysia – Indonesia sekali lagi mengadakan sistem ejaan bersama, iaitu Sistem Ejaan Baharu. Sistem ejaan ini telah diisytiharkan secara rasmi serentak di kedua-dua negara pada 16 Ogos 1972. Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan risalah Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia untuk rujukan masyarakat. Ejaan baharu ini masih mempunyai  masalah. Oleh itu, menerusi Majlis Bahasa Melayu Indonesia – Malaysia (MBIM) dan kini Majlis Bahasa Brunei–Indonesia–Malaysia (MABBIM) telah diwujudkan bagi kerjasama serantau untuk memantapkan sistem ejaan bahasa Melayu. Dalam beberapa persidangan diadakan, MABBIM telah mengeluarkan pedoman umum ejaan yang dianggap lengkap untuk kegunaan negara yang terlibat. Versi yang sesuai dengan negara masing-masing telah diterbitkan. Di Malaysia, pedoman ejaan ini dikenali sebagai Daftar Ejaan Baharu. Berdasarkan Daftar Ejaan Baharu ini terdapat 26 huruf yang digunakan dalam ejaan bahasa Melayu. Kesemua 26 huruf ini melambangkan enam bunyi vokal dan 26 bunyi konsonan. Bilangan bunyi lebih banyak daripada jumlah huruf kerana ada huruf yang digabungkan untuk melambangkan satu bunyi. Berdasarkan sistem ejaan ini, bahasa Melayu dapat mewujudkan keselarasan atau keseragaman dari segi tulisan, ejaan, dan persukuan bagi membolehkan bahasa Melayu lebih mengungkapkan segala bidang ilmu dengan lebih berkesan dan standard.

 

 

PEMBENTUKAN ISTILAH

Pembentukan istilah amat penting dalam bahagian perancangan bahasa kerana menerusi istilah ini segala ilmu pengetahuan mampu digarap dengan baik dan dapat difahami. Justeru, usaha memperkaya kosa kata yang khusus dalam bidang tertentu atau disebut sebagai “istilah” adalah penting kerana dengan pembentukan istilah ini, tugas yang berat sebagai medium untuk mengembangkan sesuatu ilmu dapat dilaksanakan. Hal ini demikian kerana bagi membolehkan sesuatu bahasa itu berfungsi sebagai bahasa intelektual, bahasa tersebut perlulah memiliki dan mempunyai leksikon yang khusus bagi mengungkapkan sesuatu bidang ilmu dengan berkesan dan dapat menyampaikan kandungan sesuatu ilmu itu dengan persis serta seiring dengan ledakan ilmu yang berlaku dari semasa ke semasa. Dengan itu, usaha memperluaskan kosa kata dalam bidang tertentu amat diperlukan agar konsep-konsep baharu dapat diungkap degan betul dan tepat.

Di Malaysia, pembentukan istilah telah melalui sejarah yang agak panjang, iaitu telah bermula sejak sebelum merdeka lagi. Usaha ini telah dilaksanakan oleh Pakatan Belajar – Mengajar Pengetahuan Bahasa (PaBaMinPaBa) sejak tahun 1934 lagi. Hal ini berlaku apabila Inggeris menghantar Douglas G. Campbell sebagai penasihat am kepada Sultan Johor pada tahun 1910, bahasa Inggeris telah digunakan dalam surat-surat perjanjian dan sejak itu penggunaan bahasa Inggeris semakin berleluasa dalam urusan pentadbiran dan bahasa Melayu mula dipinggirkan (Amat Juhari Moain, 2009). Situasi ini telah membangkitkan semangat orang-orang Melayu untuk mempertahankan bahasa Melayu. Pa.Ba.Mim.Pa.Ba telah menubuhkan jawatankuasa peristilahan yang dianggotai oleh para guru, pegawai kerajaan, ahli bahasa dan orang perseorangan. Menerusi jawatankuasa ini, istilah dalam bidang pentadbiran moden telah digubal dan antara istilahnya ialah jawatankuasa (bagi menggantikan istilah committee), pengetusi (chairman), setiausaha (secretary), bendahari (treasurer), pejabat (office), jabatan (department), dan merinyu (inspector).  Penggubalan istilah dalam bidang pentadbiran merupakan bidang terawal yang terlibat dalam pembentukan istilah dan sejak itu jumlah istilah yang digubal sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Istilah yang digubal pada peringkat awal ini adalah melalui pinjam terjemah dan apabila tiada padanan makna yang sesuai, maka istilah baharu akan dibentuk. Sekiranya tiada perkataan yang bersesuaian atau yang sepadan maknanya, maka alternatif lain akan diambil, iaitu dengan menggubal istilah sendiri. Walau bagaimanapun, pakatan ini hanya bergerak sendiri dan tidak ada kesepaduan dalam kerja-kerja menggubal istilah. Setelah tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), usaha-usaha pembentukan istilah menjadi lebih teratur dan tersusun. Jawatankuasa istilah (JKI) pertama yang ditubuhkan ialah JKI Kerajaan dan bermula daripada penubuhan JKI yang pertama ini bilangan JKI semakin bertambah pada tahun-tahun berikutnya. Hasil kerjasama antara Indonesia dan Malaysia menerusi Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM), pada tahun 1975 telah diterbitkan Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (PUPI). Sejumlah 164, 049 istilah dalam pelbagai bidang dan subbidang ilmu telah berjaya dihasilkan (Ramlah Adam, 2014). 

Perkembangan istilah ini sebenarnya sejajar dengan perubahan dasar pendidikan negara. Pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang ditunjangi oleh Laporan Razak 1956 dan Laporan Abdul Rahman Talib 1960 menekankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan dan usaha untuk menghapuskan sistem pendidikan kolonial Inggeris dilakukan dengan memansuhkan sekolah jenis Inggeris dan ditukar kepada sekolah kebangsaan secara beransur-ansur. Ini bermakna, pengajaran sebelum ini yang berlangsung dalam bahasa Inggeris ditukarkan kepada bahasa Melayu. Peralihan penggunaan bahasa pengantar ini memberi kesan mendalam, iaitu tentang perlunya penghasilan istilah bagi mengungkapkan ilmu dalam bahasa Melayu. Penulisan buku teks dalam bahasa Melayu telah secara tidak langsung menimbulkan keperluan untuk mewujudkan istilah bahasa Melayu khususnya dalam bidang sains dan teknologi, sejarah, ekonomi, kejuruteraan, dan geografi. Hal ini disebabkan pengajaran sains dan teknologi mula diperkenal dan dipertingkatkan di bawah dasar ini dan ini diikuti dengan subjek sejarah dan geografi. Apabila mata pelajaran yang diajar di sekolah mengambil elemen-elemen dari luar seperti negara barat, maka perlunya istilah bahasa Melayu dibentuk bagi memudahkan proses penjanaan ilmu dalam bahasa Melayu.

Pembentukan istilah semakin meningkat dengan Pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan pada November 1969. Menerusi dasar ini, semua institusi pengajian tinggi diwajibkan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar terutamanya di Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia. Dasar ini telah menyebabkan kursus-kursus daripada pelbagai fakulti khususnya aliran sains teknologi perlu dikendalikan dalam bahasa Melayu dan dengan itu istilah dalam bahasa Melayu diperlukan untuk tujuan pemindahan ilmu (Asmah Haji Omar, 2004). Apabila Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1970, maka penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains tulen telah dimulakan dan dengan itu proses pengintelektualan ke atas bahasa Melayu telah berlangsung. Tiga fakulti yang awal yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ialah Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sains dan Fakulti Sastera. Ini diikuti dengan Fakulti Perubatan dan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu. Dengan bertambahnya pengajaran bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), maka tugas-tugas penggubalan istilah yang dilaksanakan oleh DBP semakin giat.

 

 

KEPUSTAKAAN BERBAHASA MELAYU

Bagi membina kepustakaan berbahasa Melayu sesuatu bangsa, yakni bangsa Melayu perlu meyakini bahawa bahasanya mampu berfungsi sebagai bahasa ilmu (Abdullah Hassan, 2004). Dengan adanya kepercayaan yang teguh terhadap perkara ini, maka peradaban bangsa dapat dibina. Dikatakan bahawa tidak ada bangsa di dunia ini yang membina peradabannya tanpa kepustakaan. Ini dapat dilihat misalnya Jerman membina kepustakaan dalam bahasa Jerman dan Islam membina kepustakaan dalam bahasa Arab bagi membangunkan peradaban mereka. Seorang sarjana matematik dan ahli falsafah Jerman, iaitu Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716) menyedari bahawa penggunaan bahasa Latin dan Perancis tidak berupaya untuk memandaikan bangsa Jerman. Hal ini disebabkan penggunaan bahasa asing ini telah menyebabkan ilmu hanya berjaya disampaikan kepada golongan atasan dan intelektual, manakala masyarakat biasa sukar untuk memahami ilmu tersebut. Oleh itu wujud tembok bahasa antara ilmu dan masyarakat. Justeru Leibniz mengusulkan agar bahasa Jerman dibakukan, disebarkan kepada seluruh rakyatnya, dijadikan bahasa pengantar di sekolah dan universiti, menjadi bahasa pentadbiran dan perniagaan juga sebagai bahasa komunikasi dalam semua bidang. Hasilnya bahasa Jerman terus ditingkatkan dan digunakan dalam pelbagai bidang sehingga Jerman menjadi salah satu negara maju di dunia.  Hal ini menunjukkan bahawa apabila fungsi bahasa Jerman yang diperluas, maka ilmu berjaya disampaikan kepada seluruh masyarakatnya dan perkara ini membolehkan lebih ramai masyarakat Jerman memahami pelbagai bidang ilmu yang secara langsung dapat mengangkat negara Jerman sebagai sebuah negara yang maju.

Di Malaysia, bahasa Melayu telah mempunyai sistem nahu yang baku dan ratusan ribu istilah telah diwujudkan dalam bahasa Melayu. Begitu juga dari segi perundangan, bahasa Melayu telah dijadikan bahasa pengantar dalam bidang pendidikan. Justeru itu, usaha untuk membina kepustakaan Melayu tidak sesukar Jerman membina kepustakaannya. Menurut Abdullah Hassan (2004) beberapa langkah perlu dalam bagi membina kepustakaan Melayu, iaitu yang pertama ialah fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlu ditingkatkan lagi, iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar secara menyeluruh dalam semua bidang ilmu. Kedua, ilmu-ilmu yang diambil daripada luar perlulah diterjemah dan diadaptasi bagi membolehkan lebih ramai masyarakat memahami ilmu yang baharu. Perkara ketiga, sarjana-sarjana asing yang pakar dalam bidang tertentu perlu dibawa masuk ke negara ini untuk mengajarkan ilmu kepada masyarakat di Malaysia. Perkara ini telah dilaksanakan pada zaman kesarjanaan Islam, iaitu sarjana negara lain dijemput untuk mengajarkan ilmu di pusat-pusat ilmu Islam di Baghdad. Keempat ialah membina ilmu sains peribumi, iaitu dengan cara menjadikan pelajar-pelajar bidang teknologi pakar dalam bidang ini dan bahasa yang digunakan adalah sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Dengan adanya penghasil teknologi dalam bahasa ibunda, maka kekuatan dan kemajuan bangsa dapat dipertingkat. Yang kelima, membina ilmu dalam bahasa Melayu yang heterogenus sifatnya. Ilmu yang terbina dalam pelbagai bidang dapat meningkatkan bangsa Melayu dari pelbagai segi sehingga kepustakaan Melayu terbina. Sarjana Islam yang menguasai pelbagai ilmu boleh dijadikan contoh terbaik dalam membina peradaban. Di samping itu, memuliakan ilmu merupakan langkah penting dalam membina kepustakaan Melayu, iaitu dengan cara memberikan keutamaan terhadap usaha-usaha mengembangkan ilmu dalam bahasa Melayu. Justeru, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu amat penting dalam membangun, membina dan mengukuhkan peradaban bangsa dan negara. 

                                                                                        

BAHASA MELAYU SEBAGA BAHASA PENGUNGKAP ILMU DI IPT

Pelancaran Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT oleh Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia pada 27 Oktober 2011 merupakan satu langkah bijaksana dalam mengukuhkan bahasa Melayu dalam konteks pembelajaran, pengajaran, penyelidikan dan penerbitan di peringkat pengajian tinggi. Hal ini amat penting untuk dilaksanakan bagi memantapkan dan meningkatkan peranan serta fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pemantapan sistem bahasa Melayu di peringkat IPT ini amat penting untuk bahasa Melayu meneruskan kelangsungannya menjadi bahasa yang cekap dan mampu mengungkap pelbagai hal ehwal ilmu, teknologi dan segala bidang untuk kehidupan moden ini. Strategi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi ini seiring dengan usaha  Kementerian Pelajaran Malaysia yang melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Oleh itu, usaha untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan di Malaysia dapat dilaksanakan dari peringkat rendah sehinggalah ke peringkat tinggi dan dengan ini bahasa Melayu dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam sistem pendidikan di Malaysia. Oleh itu, wujud kesinambungan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu bagi melaksanakan fungsinya sebagai bahasa ilmu. Perkara ini menjadikan dasar berbahasa di IPT menjadi lebih berfokus dan jelas.

Pelan tindakan ini pada umumnya mengemukakan empat strategi, iaitu:

  1. mengukuhkan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran
  2. mengukuhkan bahasa Melayu dalam penyelidikan dan penerbitan
  3. meningkatkan pengiktirafan akademia bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilm
  4. meningkatkan pengantarabangsaan bahasa Melayu.

Menerusi strategi mengukuhkan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran ini, dasar bahasa kebangsaan yang telah ditetapkan akan dilaksanakan di IPT. Bagi melaksanakan strategi objektif pertama ini, empat aspek perlu dijalankan, iaitu kursus-kursus wajib di IPT perlu diajar dalam bahasa Melayu. Oleh itu, kursus-kursus wajib seperti Kursus Kenegaraan Malaysia, Tamadun Islam, Tamadun Asia Tenggara dan Hubungan Etnik perlu diajar dalam bahasa Melayu. Begitu juga kursus-kursus dalam gugusan sains dan gugusan sains sosial dan kemanusiaan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut sasaran yang ditetapkan. Ini ditunjukkan menerusi jadual yang berikut:

Strategi Mengukuhkan Bahasa Melayu Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Inisiatif Strategik

Sasaran

Tanggung

jawab

 

1.1

 

Pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Mewajibkan Kursus Bahasa Melayu Komunikasi kepada Pelajar Antarabangsa di IPT

 

 

 

 

2011

 

 

 

2012

 

 

 

2013

 

 

 

2014

 

 

 

2015

 

IPTA

dan

IPTS

 

1.1.1

Melaksanakan kursus-kursus wajib IPT dalam bahasa Melayu

 

 

62%

 

85%

 

90%

 

95%

 

100%

 

Semua IPTA

 

1.1.2

Menjalankan pengajaran dan pembelajaran kursus dalam bahasa Melayu untuk gugusan sains (kursus/program sains yang tidak memerlukan pengiktirafan badan akreditasi antarabangsa)

 

 

12%

 

14%

 

16%

 

18%

 

20%

 

Semua IPTA

 

1.1.3

Menjalankan pengajaran dan pembelajaran kursus dalam bahasa Melayu untuk gugusan sains sosial dan kemanusiaan

 

 

38%

 

40%

 

42%

 

45%

 

50%

 

Semua IPTA

 

1.1.4

Menghasilkan pelajar antarabangsa yang cemerlang (A) dalam kursus bahasa Melayu komunikasi di IPT

 

7%

 

7%

 

10%

 

12%

 

15%

 

IPTA

dan

IPTS

 

 

 

Pelan Tindakan ini tidak sahaja meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar tempatan, tetapi pelajar antarabangsa turut diwajibkan mengambil kursus Bahasa Melayu Komunikasi dan dengan matlamat mampu memperoleh keputusan yang cemerlang.

Bagi mengukuhkan bahasa Melayu dalam bidang Penerbitan dan Penyelidikan pula, ahli akademik digalakkan untuk menghasilkan penyelidikan dan penerbitan berbahasa Melayu. Strategi ini dilaksanakan dengan mengukuhkan jurnal tempatan berbahasa Melayu yang berkualiti sehingga diindeks dalam Era, Scopus dan ISI. Menerusi langkah ini, beberapa jurnal berbahasa Melayu telah dijadikan jurnal berindeks, antaranya Jurnal Gema, Jurnal Ekonomi Malaysia, Jurnal Komunikasi Malaysia, Wacana Seni, dan Sains Malaysiana.  Pada masa yang sama, jumlah jurnal yang menjurus ke arah jurnal berindeks ini sedang giat dilakukan oleh IPT, misalnya di UPSI, jurnal Pendeta juga sedang diusahakan untuk mencapai status ini.  Keupayaan meningkatkan jumlah penghasilan penulisan berbahasa Melayu dalam jurnal tempatan ini membuktikan keseriusan Malaysia dalam memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi dan mampu diiktiraf di peringkat global. Global tidak bererti bahawa hanya bahasa Inggeris sahaja menjadi bahasa ilmu, tetapi bahasa Melayu amat penting untuk menjadi bahasa ilmu, khususnya di Malaysia dan di rantau ini kerana ilmu watan lebih rapat hubungannya dengan anak watan bagi mencerna, mentafsir dan memanfaatkan ilmu yang diterima.

Bagi meningkatkan penghasilan karya ilmiah berbahasa Melayu, maka KPT menetapkan aspek ini sebagai salah satu kriteria kemajuan kerjaya, pembangunan dan kenaikan pangkat ahli akademik dalam pelbagai disiplin. Di samping itu, satu kategori anugerah baharu telah diwujudkan dalam Anugerah Akademik Negara kepada ahli akademik yang cemerlang dalam bahan penerbitan berbahasa Melayu, iaitu Anugerah Penterjemah Karya Ilmu dan bahasa Melayu dan Anugerah Akademia Bahasa Melayu. Anugerah ini secara tidak langsung dapat meningkatkan dan menyebarluaskan bahan bacaan ilmiah dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai mediumnya.

Strategi objektif terakhir pula dilaksanakan dengan menjadikan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai focul point, sebagai institusi yang akan menjalinkan kerjasama dengan institusi luar negara dalam menentukan strategi dan memantapkan pengajian Melayu dengan jabatan-jabatan bahasa Melayu di dunia. Di samping itu, kursi atau bilangan tenaga pengajar Pengajian Melayu di institusi-institusi luar negara turut ditingkatkan. Menerusi Pelan Tindakan ini, martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar di IPT perlu dilaksanakan dan diperkukuh oleh kepimpinan IPT. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu perlu dikembalikan dengan cara melaksanakan pengajaran, penyelidikan, penerbitan dalam bahasa Melayu. Di samping itu, pengantarabangsaan bahasa Melayu juga perlu dikembangkan dan diperluas.

 

KESIMPULAN

Bahasa Melayu sebagai sarana bahasa ilmu memanglah tidak dapat dinafikan. Sejarah telah membuktikan bahawa sejak dahulu lagi, iaitu sejak zaman Sriwijaya penggunaan bahasa Melayu dalam penyampaian ilmu telah berjaya dilaksanakan. Penggunaan bahasa Melayu ini turut dipertingkatkan selaras dengan peluasan kuasa kerajaan Melayu Riau dan pada masa yang sama Islam turut disebarkan ke seluruh jajahan Melayu. Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu telah diberikan taraf sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia dan menerusi beberapa akta pendidikan, bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah dan di IPT. Justeru, bahasa Melayu sebagai sarana bahasa ilmu berjaya dilaksanakan. Bagaimanapun, tumpuan dan keseriusan kerajaan serta masyarakat di Malaysia terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam bidang keilmuan amat penting kerana bidang keilmuan merupakan bidang terpenting dalam membina bangsa dan negara Malaysia.

SXDcSA4~